UNTUK SIAPA KASIH KITA

Jumaat, 14 Disember 2012

Ungkapan kasih amat senang disebut orang. Namun, adakah kasih itu disalur kepada jalan yang betul dan mengetahui siapa yang layak menerimanya. Rasa kasih adalah fitrah yang dikurniakan Allah kepada kita.Namun, tidak ramai yang tahu mengawal rasa fitrah tersebut sebaliknya menjadikannya sebagai satu alasan untuk terus mencari sesuatu yang palsu sehingga tersesat di jalan yang dimurkai. Sedar atau tidak, keindahan alam dan seisinya yang fana ini seringkali menarik kita untuk mengasihinya.

            Segelintir manusia telahpun tergelincir di jalan kepalsuan ini. Mungkin dek kerana lembutnya tiupan angin tipu daya dunia. Atau pemandangan indah yang digambarkan dalam bentuk kemanisan yang dihiasi dengan racun kemaksiatan. Ada yang menjadi pencinta harta sehingga bertemankan bakhil. Ada pemuja pangkat hingga melupakan kematian. Sedangkan Allah menyuruh kita supaya mengasihi sesuatu yang membawa kita kejalanNya. Contoh paling mudah seperti mengasihi kedua ibu bapa, kaum keluarga, teman seperjuangan, masyarakat sekampung dan yang lain-lain lagi.. 

            Menyebut tentang kasihkan masyarakat, barangkali ada yang berfikir, perlukah rasa sayang dalam masyarakat? bukankah tanggungjawab sahaja sudah cukup? Seseorang yang beriman akan menyayangi sesiapapun termasuk masyarakatnya. Contoh yang terdekat ialah jiran kita, masyarakat yang paling dekat dan komuniti pergaulan kita seharian. Rasa kasih yang subur didalam hati orang-orang beriman seharusnya membuahkan akhlak-akhlak yang baik terhadap orang lain. Disebutkan didalam hadith, daripada Abu Hurairah (r.a), berkata Rasulullah (saw):

            “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya, dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah memuliakan (melayan dengan baik)tetamunya, dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.(hadith riwayat Bukhari)

            Sebaik-baik rasa sayang dalam umat yang bertuah ini adalah yang dilingkari benang-benang emas ukhuwah yang tercipta atas dasar “ukhuwah fillah”(ukhuwah dijalan Allah). Sejarah silam telah memaparkan contoh terbaik bagi kita semua iaitu hubungan antara kaum Muhajirin dan Ansar. Rasa kasih sesama mereka adalah berpaksikan keredhaan Allah. Masing-masing menggenggam Islam dan tauhid yang sama. Maka, perpaduan yang terzahir amat teguh dan utuh sehingga tidak mampu digugah.

            Akhirnya, kasih yang sebenar adalah terletak pada Allah Taala.Inilah yang dicari-cari oleh segenap manusia sama ada mereka sedar mahupun tidak. Kerana ianya adalah fitrah bagi setiap jiwa yang amat memerlukan kepada Allah, Tuhan yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Kasih yang menenangkan jiwa, cinta yang tiada cacat cela, membuka mata yang buta.



Aisyah91
Kuliah Bahasa Arab,
 Kaherah.

♥ ANDA SUKAKAN ARTIKEL INI?? JANGAN LUPA KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA ♥
Facebook Twitter StumbleUpon Digg Delicious Reddit Technorati Mixx Linkedin
[Get this Widget]

0 suara: